
ٱلۡحَمۡدُ
لِلَّهِ
رَبِّ
ٱلۡعَالَمِينَ،
اَلَّذِيْ
أَكْرَمَنَا بِشَهْرِ رَمَضَانَ ، فَـجَـعَلَهَ شَهْرَ الْعِبَادَة وَالرَّحْمَة وَ الْـمَغْفِرَة.
وَٱلصَّلَاةُ وَٱلسَّلَامُ عَلَىٰۤ أَشۡرَفِ ٱلۡمُرۡسَلِينَ، نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍۢ صَلَّى ٱللَّهُ عَلَيۡهِ وَسَلَّمۡ
وَعَلَىٰۤ ءَالِهِۦ وَأَصۡحَابِهِۦ وَٱلتَّابِعِينَ وَمَن تَبِعَهُمۡ بِـإِحۡسَانٍ إِلَىٰ يَوۡمِ ٱلدِّينِ، وَبَعۡدُ
Setinggi-tinggi puji dan syukur kita panjatkan ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta’ala kerana dengan limpah rahmat dan kurnia izin-Nya, sekali lagi kita diberi kesempatan untuk menyambut ketibaan bulan Ramadhan, bulan yang penuh dengan keberkatan, kemuliaan, serta limpahan rahmat dan keampunan bagi umat Nabi Muhammad
ﷺ. Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita, Rasulullah
ﷺ, ahli keluarga Baginda, para sahabat serta seluruh pengikut Baginda yang setia hingga ke akhir zaman.
Alhamdulillah, bulan Ramadhan 1446 Hijriah yang mulia kini hadir sebagai tetamu agung, membawa bersamanya keberkatan, keampunan serta peluang menggandakan amal ibadah untuk pembebasan daripada api neraka. Inilah bulan yang dinanti-nantikan oleh para muttaqin, bulan yang dipenuhi dengan kasih sayang Ilahi, di mana pintu-pintu syurga dibuka seluas-luasnya, manakala pintu-pintu neraka ditutup serapat-rapatnya dan syaitan-syaitan dibelenggu. Berpuasa di dalamnya bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi ia adalah medan tarbiah ruhiyyah yang menyucikan hati, mengukuhkan disiplin diri serta menyuburkan jiwa dengan keimanan dan ketakwaan.
Di siang hari, kita menunaikan kewajipan berpuasa sebagai tanda ketaatan dan kepatuhan kepada perintah-Nya, sementara malamnya dihidupkan dengan ibadah, bertilawah al-Quran, bermunajat, serta mendirikan solat sunat Tarawih dan Qiyamullail. Ramadhan adalah bulan di mana, Rasulullah
ﷺ memperbanyakkan bacaan dan tadabbur al-Quran, memperdengarkan serta mengulangkaji bacaan bersama Malaikat Jibril Alaihis Salam. Justeru, marilah kita mengikuti jejak Baginda dengan menjadikan Ramadhan sebagai peluang untuk memperkukuhkan hubungan kita dengan Kalamullah, kerana di dalamnya terkandung cahaya petunjuk yang membimbing jiwa-jiwa yang mendambakan hidayah-Nya.
Di Kementerian Pertahanan, peramba/saya amat yakin bahawa peluang untuk mentarbiah diri dalam aspek keagamaan sentiasa terbuka luas, lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini. Sebagai anggota pertahanan yang berpegang teguh kepada prinsip “Bersama Teguh, Berpisah Runtuh”, Ramadhan memberi ruang dan peluang untuk kita memperkukuhkan keimanan, memperteguhkan disiplin diri serta menyemarakkan semangat ukhuwah Islamiah.
Pelbagai program keagamaan yang dianjurkan oleh Jabatanarah Agama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (JAMA’AT) seperti tadarus al-Quran, ceramah agama, solat sunat Tarawih dan Qiyamullail di surau-surau dan masjid di perkhemahan dan kawasan operasi serta program Jangkauan Ramadhan adalah peluang istimewa yang amat bernilai untuk kita manfaatkan bersama. Bukan sahaja sebagai medan ibadah, malah ia menjadi wadah untuk mengeratkan silaturahim dan semangat perpaduan dalam kalangan warga Kementerian Pertahanan.
Justeru, peramba/saya membawa bersama seluruh warga Kementerian Pertahanan dan ABDB untuk tidak membiarkan keistimewaan dan kelebihan bulan ini berlalu tanpa dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Semoga kita termasuk dalam golongan hamba-hamba Allah yang beroleh tiga nikmat utama di bulan agong ini iaitu, Rahmat-Nya di awal bulan; Keampunan-Nya di pertengahannya; dan Pelepasan daripada api neraka di penghujungnya – sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam:
وَهُوَ
شَهْرٌ
أَوَّلُهُ
رَحْمَةٌ،
وَأَوْسَطُهُ
مَغْفِرَةٌ،
وَآخِرُهُ
عِتْقٌ
مِنَ
النَّارِ
Maksudnya: “Dan ia (Ramadhan) permulaannya adalah rahmah, pertengahannya adalah keampunan dan akhirnya adalah pelepasan daripada api neraka”. [Riwayat Ibn Khuzaimah]
Ramadhan adalah hadiah yang tidak ternilai dari Allah Subhanahu wa Ta’ala, satu kesempatan yang diberikan kepada kita untuk menyucikan jiwa dan memperbaharui iman. Namun, tidak semua kita akan diberikan kesempatan untuk bertemu dengannya lagi pada tahun hadapan. Oleh itu, marilah kita menyambutnya dengan penuh rasa syukur, menghargainya dengan ibadah yang bersungguh-sungguh serta mengisinya dengan amalan yang mendekatkan diri kita kepada-Nya.
Akhir kalam, saya ingin mengucapkan Selamat Menjalankan Ibadah Puasa Ramadhan kepada seluruh warga Kementerian Pertahanan baik yang berada di dalam negeri atau yang bertugas atau berkursus di luar negara beserta keluarga. Semoga kita dikurniakan kesejahteraan, kesihatan, serta kekuatan untuk beribadah dengan penuh keikhlasan dan kehambaan, demi mengharap redha Allah
SWT jua:
ٱللَّهُمَّ سَلِّمنَا لِرَمَضَانَ، وَسَلِّمۡ رَمَضَانَ لَنَا، وَتَسَلَّمْهُ لَنَا مُتَقَبَّلًا
“Ya Allah berilah keselamatan kepadaku untuk (menghadapi) Ramadhan, berilah kesejahteraan Ramadhan untukku dan terimalah Ibadah Ramadhan dariku”
Aamiin ya Rabbal Alamiin.
وَبِاللهِ التَّوفِيق وَالْهِدَايَة السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاُته